Mana kan ku dapat;
menghayati pahit manis juangmu jika tidak aku di jalan ini,
menikmati ujian yang diberikan supaya lebih dekat kepada Tuhan,
merasai apa itu perang melawan nafsu,
mengingati perjalanan para anbiya, para auliya, serta yang lainnya,
mensyukuri peluang dan segala apa yang telah dikurniakan kepadaku selama ini.
Walau terkulai layu,
patah semangat jituku,
lemah emosiku,
longlai jasadku,
Apa lagi yang harus aku pinta selain pedoman, taufik & hidayah, serta rahmat dan redhaMu.
Tuhan,
sudahku rasai apa itu kehilangan,
sudahku hadapi pelbagai tekanan,
sudahku tangisi ujian kerana perasaan,
tapi;
sudahkah aku mensyukuri apa yang telah Kau berikan?
sudahkah aku belajar dari kesilapan lalu?
sudahkah aku berikan yang terbaik dan tersungguh dari kudratku ini?
Tuhan,
adakah aku tersedia sepenuhnya untuk menghadapi sakaratul mautmu?
adakah aku tersedia menerima hukuman atas janji yang tidak tertunai?
adakah aku sudah taubat sepenuhnya atas apa yang telah ku buat?
adakah aku sudah menjadi aku untuk menghadap Mu ya Tuhan?
Ammar,
aku merasai kini sebahagian apa yang kau lalui,
cabaran untuk menjadi manusia sebenar benar manusia,
dugaan untuk menjadi muslim yang sempurna,
ujian untuk menetapkan iqtikad yang sempurna,
apatah lagi untuk menjadi suci dari ikhlas,
untuk menjadi sabar dari redha,
untuk menanggung ilmu dengan rahmatnya Tuhan,
dengan syufaatnya Rasulullah,
dengan berkatnya guru,
dengan karamahnya wali,
dengan restu ibu ayah,
dengan redha nya aku atas diriku.
Ya Rahman Ya Rahim,
Ampunilah segala dosa guruku,
ibu bapaku,
dosa-dosa silamku,
berikanlah kami semua kesihatan yang baik,
umur yang panjang untuk berbakti kepada bangsa, agama, dan negara,
akal yang cerdas, waras, serta tajam,
dan fikiran yang matang,
kuatkanlah ingatan kami,
berikanlah bantuanMu di kala kami kesusahan,
limpahkan cahaya Nur Mu dalam hati-hati kami,
sesungguhnya Engkaulah Maha Esa lagi Maha Berkuasa,
atas tiap-tiap sesuatu yang kami lakukan.
Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Z.
[9.10.2014, 2300hrs]
No comments:
Post a Comment